8

Saya Mestilah Memahami Cara-cara Beramal Dalam Islam



Bab 4
Fathi Yakan


Penggabungan saya dalam gerakan Islam mewajibkan saya mengetahui mengapakah saya berada di dalam Harakah Islamiah (gerakan Islam) dan tidak bersama organisasi lain? Apakah sebab-sebab yang menjadikan saya berada di dalamnya? Mengapa saya tidak berada di dalam organisasi lain? Apakah sebab-sebab yang menjadikan saya berada di dalamnya? Mengapa saya tidak berada di dalam organisasi lain? Apakah ini satu kebetulan (sedangkan kebetulan adalah tertolak oleh logik Syariat Islam) atau ia adalah hasil dari penelitian dan pilihan saya sendiri?

Saya mesti memahami cara-cara atau jalan pergerakan dalam Harakah Islamiah supaya penggabungan saya dengan Harakah Islamiah adalah penyertaan yang dibuat atas dasar kesedaran dan pemikiran yang sihat, bukan penyertaan secara membuta-tuli atau kerana sesuatu keinginan.

Apabila saya menggabungkan diri dengan Harakah Islamiah saya mestilah mengetahui bahawa cara bergerak dalam gerakan-gerakan lain dan organisasi yang berbagai bentuk tidaklah mencerminkan garis dasar Islam sebenarnya. Tidak ada satupun dari organisasi-organisasi itu sendiri terdapat perbezaan yang besar dari sudut iltizam sama ada dalam soal prinsip mahupun soal cabang.
Pada hakikatnya orang yang memerhatikan seluruh alam Islami akan melihat wujudnya pertubuhan Islam berbagai bentuk dan aliran.

1. Kelompok Yang Menjurus Kepada Kerohanian.
Kita dapati wujud badan-badan yang kegiatan-kegiatannya menjuruskan kepada soal-soal kerohanian semata-mata di mana mereka menitikberatkan pendidikan kerohanian sahaja. Manakala bidang-bidang yang lain tidak langsung mendapat perhatian sedangkan bidang-bidang itu dipandang penting oleh Islam seperti bidang pemikiran, siasah (politik), jihad, organisasi, perencanaan, perancangan dan seumpamanya. Pendekatan dan fahaman demikian menyebabkan mereka terpisah jauh dari realiti kehidupan, tidak memahami keadaan persekitaran tempat mereka hidup dan tidak mungkin (diadakan sesuatu usaha) yang memberikan kesan dan mengubah suasana tersebut.

2. Kelompok Yang Menjurus Kepada Kebudayaan dan Ilmu.
Kita juga dapat wujudnya badan-badan yang kegiatannya menjuruskan kepada kebudayaan dan ilmu pengetahuan semata-mata, yang pada asalnya muncul dari sikap ingin bertindak-balas atau keinginan berlumba-lumba dengan pertubuhan-pertubuhan lain (seperti pertubuhan Kristian dan Yahudi). Antara lain pertubuhan yang mengikut aliran-aliran ini ialah Syubbanul Muslimin. Kemunculan cara ini menyebabkan mereka turut bertitik-tolak di atas pertubuhan-pertubuhan tersebut kerana tekanan dan terpengaruh dengan tradisi pertubuhan-pertubuhan berkenaan. Bahkan terdapat kelompok-kelompok Islam di dalam aliran ini dalam banyak keadaan memberikan kerugian kepada Islam kerana gerak-kerjanya adalah selari dengan pertubuhan-pertubuhan yang terang-terang menentang Islam dan penganutnya. Pertubuhan-pertubuhan seperti ini sudah tentu tidak diterima oleh Syariat Islam yang bersifat tersendiri dan berbeza dengan pertubuhan-pertubuhan yang lain.

3. Kelompok Yang Menjuruskan Kepada Kebajikan Semata-mata.
Kita juga dapat wujud kelompok yang bergiat dalam bidang kebajikan kerana terasa tekanan perlunya memberi bantuan kepada golongan yang menderita dan memberi bantuan perubatan kepada para pesakit dan golongan yang melarat sebagaimana yang dilakukan oleh "Jamaah Makarimul Akhlak" yang bergiat memperbaiki akhlak, persatuan pertolongan cemas, mendirikan rumah anak-anak yatim dan seumpamanya. Jamaah-jamaah ini sekalipun telah melakukan kerja-kerja yang dituntut oleh Islam dan patut disanjung namun jamaah ini terus kekal dalam lengkungan kerja-kerja asal penubuhannya sahaja, tidak lebih dari itu. Oleh itu ia tidak mungkin dianggap sebagai sebuah harakah yang berusaha membawa perubahan yang bermatlamatkan menegakkan masyarakat Islam dalam mengembalikan cara hidup Islam.

4. Parti-parti Yang Menumpukan Kepada Kegiatan Politik Semata-mata.
Terdapat juga juga parti-parti politik Islam yang menjuruskan kegiatan-kegiatan mereka kepada politik semata-mata. Pertubuhan-pertubuhan ini bergiat dengan kegiatan-kegiatan tertentu sahaja, tidak mempelbagaikannya atau melewatinya. Mereka bergerak atas nama Islam tetapi tidak menjadikan ciri-ciri akidah sebagai asas jamaah (organisasi) mahupun sebagai pegangan individu anggotanya. Pertubuhan-pertubuhan ini ada kalanya tidak segan silu melanggar prinsip-prinsip Islam atau keluar dari perkara-perkara pokok dengan alasan mengambil jalah rukhsah (felxibility) atau keanjalan dan keterbukaan ajaran Islam atau dengan memberi alasan langkah demikian adalah untuk maslahah atau untuk kepentingan umat Islam. Di antara contoh amalan-amalan di atas ialah turut serta di dalam gerak kerja kerajaan yang mengamalkan sistem ciptaan manusia yang kafir atau mengutamakan masalah-masalah cabang dan ranting dengan amal kerja secara habis-habisan manakala tuntutan-tuntutan asasi yang menjadi suruhan Islam diabaikan.

Sesungguhnya badan-badan, pertubuhan-pertubuhan dan parti-parti politik Islam yang disebut di atas, semuanya tidak mengamalkan amal Islami yang tulin, sempurna lagi menyempurnakan, iaitu amal-amal yang mampu membawa perubahan dari alam jahiliah kepada alam Islam, amal yang dapat menyelamatkan dunia Islam dari cengkaman dan belenggu peradaban barat yang zalim dan pemerintahan barat yang melampau, amal-amal yang mampu membentuk peribadi-peribadi muslim, keluarga muslim, masyarakat muslim dan akhirnya menegakkan sebuah negara yang memerintahkan dengan hukum-hukum yang diturunkan oleh Allah s.w.t.

Oleh yang demikian segala kerja-kerja yang dijalankan oleh pertubuhan-pertubuhan tersebut tetap berada di dalam keadaan yang cacat dan tempang. Malah lebih dari itu sebahagian kerja-kerja mereka di atas nama Islam itu merosakkan Islam. Kegiatan dan kerja-kerja yang bersifat juz'ie, sempit dan tidak syumul yang dijalankan oleh pertubuhan-pertubuhan seperti pertubuhan-pertubuhan tersebut memberikan gambaran bahawa Islam itu bersifat juz'ie, sempit dan tidak syumul sedangkan ajaran Islam tidaklah bersifat sedemikian. Amalan secara sedemikian juga boleh memberikan gambaran yang undang-undang ciptaan manusia itu tidak berbahaya sehingga dengan demikian padamlah rasa marah yang meluap-luap umat Islam terhadap sistem dan undang-undang tersebut. Sikap sedemikian membantu sistem tersebut untuk terus berjalan dan tetap kekal (mencengkam masyarakat umat Islam).

Sebenarnya amal Islam yang ditegakkan di atas dasar untuk membawa perubahan yang menyeluruh, yang membuat persediaan-persediaan untuk melakukan perubahan yang menyeluruh, yang membawa keseluruhan ajaran Islam dan berusaha menegakkan Islam secara keseluruhan pula meskipun ianya tidak berjaya sepenuhnya pada suatu peringkat dan mengalami kesulitan pada suatu peringkat yang lain, ia tetap merupakan amal yang betul dan selaras dengan garis-garis asal ajaran Islam, walau apapun nama yang diberikan kepada pertubuhan-pertubuhan tersebut kerana seluruh amal-amal tersebut bertemu kerana suatu fahaman, satu uslub (cara), satu jalan, satu matlamat sekalipun pertubuhan-pertubuhan tersebut berada dalam wilayah yang berlainan dan berjauhan.

Imam Hassan Al-Banna telah menerangkan secara jelas ciri-ciri golongan tersebut. "Saudara-saudara sekalian! Kamu bukanlah sebuah pertubuhan kebajikan, bukanlah sebuah pertubuhan politik, bukanlah satu pertubuhan yang diasaskan dengan tujuan yang terbatas, tetapi kamu adalah satu roh baru yang mengalir di dalam urat nadi umat ini, lalu kamu menghidupkan mereka dengan Al-Quran. Kamu adalah satu cahaya baru yang memancar, yang dapat menghilangkan kegelapan fahaman kebendaan dengan makrifat kepada Allah dan kamu adalah suara-suara lantang yang akan menghidupkan kembali dakwah Rasulullah s.aw".Apa Ertinya Saya Menganut Islam.............

Flickr Photostrem-

100_3495 100_3492 100_3475 100_3491 100_3493 100_3486 100_3541 100_3605 100_3814 100_3365 100_3519 100_3224 100_3649 100_3800 100_3412 100_3559 100_3425 100_3567